Kampar baru saja bertukar status sebagai sebuah daerah dan Malim Nawar adalah salah satu mukim yang terletak di dalam daerah ini dan ia mempunyai sejarah besar dan kaitan dengan terbinanya daulat di Kuala Kangsar. Namun ramai yang tidak menyedarinya atau mungkin tidak ambil peduli.
Hari ini Malim Nawar adalah selesu aliran air sungainya dan seolah-olah turut bersemadi bersama tamatnya operasi Perak Hydro yang kini telah menjadi Pusat Latihan bagi TNB.
Malim Nawar & Kuala Kangsar itu erat ikatannya menjunjung kedaulatan negeri Perak
- Sepanjang catatan perjalanan sejarah kesultanan Perak bermula daripada Sultan Muzaffar ke Perak melalui Beting Beras Basah di Bagan Datok, istana Sultan Perak pernah bertapak di beberapa lokasi. Daripada sekitar hilir Perak hinggalah ke kawasan tidak jauh daripada Ipoh sekarang iaitu di Sungai Siput Utara. Kesemua di tebing kanan Sungai Perak (jika memudik sungai).
- Apa kaitannya dengan Malim Nawar? Bermula daripada zaman Sultan Idris 1 barulah istana Sultan Perak dibina di tebing kiri Sungai Perak iaitu di Kuala Kangsar. Peristiwa ini melibatkan kejadian yang berlaku ketika Sultan Idris 1 berburu di Gunung Bubu dan bertemu dengan Tok Temong. Peristiwa ini penting kerana ketika itulah Tok Temong telah memberikan isyarat kepada baginda Sultan Idris 1 untuk mula membina istana Sultan Perak di tebing kiri dan lokasi tersebut adalah di Kuala Kangsar.
- Kaitan Malim Nawar di sini adalah kerana Sultan Idris 1 ini dilahirkan di satu kawasan di Malim Nawar iaitu di Kuala Keboi.
- Selain itu, setiap pertabalan Sultan Perak juga pasti harus menziarahi Makam Teja sepertimana harus memijak kaki ke Beting Beras Basah. Di mana letaknya Maka Teja ini? Di mukim Teja yang terletak sekitar Malim Nawar. Lebih menarik lagi, Makam Teja adalah makam bagi Marhum Teja iaitu Raja Bendahara yang juga adalah ayahanda kepada Sultan Idris 1.
- Lebih menarik lagi, Sultan Idris 1 juga adalah cucu kepada Sultan Muda Ahmad yang dikatakan sebagai penjaga jin-jin kerajaan negeri Perak. Seperti yang kita sedia maklum, adat istiadat di dalam sistem kesultanan negeri Perak mempunyai pengaruh mistik yang kuat. Sultan Muda Ahmad ini boleh dianggap sebagai susuk tubuh yang menetapkan tatacara di dalam perlaksanaan adat istiadat kesultanan negeri Perak.
Malim Nawar istimewa di dalam catatan sejarah Perak
Oleh itu adalah tepat jika dikatakan bahawa Malim Nawar mempunyai kesan signifikan terhadap daulah dan sejarah kesultanan negeri Perak.
Walaupun pada hari ini Malim Nawar hanyalah salah satu mukim kecil di dalam daerah Kampar.
Bukan sahaja kecil malah lesu walaupun bersebelahan dengan Bandar Baru Kampar yang gah dengan UTAR (Universiti Tunku Abdul Rahman).
Imej: Sinchew
